Kejatuhan & Pembubaran Gersang Gersang_(kumpulan_muzik)

Setelah Gersang mendaki puncak populariti menerusi album Gersang dan Takdir, mereka kemudiannya menghasilkan album ketiga yang berjudul B29. Namun dalam album ini, Gersang mengalami perubahan anggota apabila Kid telah menjemput Ajib dari Johor Bahru untuk menganggotai semula Gersang sebagai pemain gitar utama, sekaligus menggantikan dirinya yang telah mengambil keputusan untuk menganggotai kumpulan rock lagenda, Search.

Perubahan ini ternyata memberi kesan kepada populariti kumpulan ini apabila album ketiga mereka gagal dari segi penjualan dengan rekod sebanyak 29,000 unit. Kegagalan album ini ternyata satu kejutan yang mencabar keyakinan mereka sebagai artis biarpun pada hakikatnya, susunan muzik dalam album ketiga mereka adalah lebih baik daripada dua album yang terdahulu. Namun begitu, lagu hits daripada album ini iaitu Bersama Suara Hati sering diputarkan di corong radio dan turut layak ke peringkat akhir Juara Lagu '89, di mana kumpulan Search yang dianggotai Kid menjadi Juara Keseluruhan menerusi lagu malar segar mereka, Isabella.

Walaupun album ketiga mereka gagal dari segi penjualan, mereka tidak cepat melatah malah mereka mengorak langkah dengan merakamkan album keempat. Malangnya, Man Bai telah menghidap penyakit tonsil yang agak serius sehingga menjejaskan peti suaranya, seterusnya menyebabkan sesi rakaman album keempat tergendala. Dalam masa yang sama, Jojet telah dilamar oleh rakan sekolahnya, Awie untuk menganggotai semula Wings setelah pemain dramnya, Black keluar dari kumpulan tersebut.

Apabila usaha Man Bai dalam mencari penyanyi baharu untuk menggantikannya menemui kegagalan, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing pada penghujung tahun 1990 setelah selesainya kontrak persembahan Konsert Jelajah Lucky Strike.[2]

Rujukan

WikiPedia: Gersang_(kumpulan_muzik) http://duniarockmalaysia.blogspot.com/2011/05/kala... http://melayurock.blogspot.com/2007/07/gersang-ger... //scholar.google.com/scholar?q=%22Gersang%22+kumpu... //www.google.com/search?&q=%22Gersang%22+kumpulan+... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Gersa... //www.google.com/search?q=%22Gersang%22+kumpulan+m... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%22Gersang%22+... http://www.bharian.com.my/articles/Masihakuterasa/... http://ecentral.my/services/sprinterfriendly.asp?f... http://www.jstor.org/action/doBasicSearch?Query=%2...